Tempatan Utama

Wanita ditahan ugut, tendang rakan sekerja di Hospital Tawau

Wanita ditahan ugut, tendang rakan sekerja di Hospital Tawau

TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas disyaki mengugut dan mencederakan rakan sekerjanya dalam kejadian di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, wanita berusia lingkungan 20-an, berada di bilik rehat sebelum didatangi suspek yang dikenalinya.

Menurutnya, suspek dipercayai meninggikan suara terhadap mangsa susulan perselisihan faham sebelum keadaan bertukar menjadi insiden kekerasan.

“Suspek kemudiannya didakwa menolak dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau menggunakan kekerasan ketika berdepan perselisihan faham, sebaliknya menyelesaikan pertikaian melalui saluran yang betul.

Leave feedback about this

  • Rating