
14 pelajar ditahan selepas pergaduhan di Taman Ambar, Tawau
TAWAU: Seramai 14 pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan sekumpulan pelajar di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, pada 6 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang sebelum Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan siasatan dan tindakan mengesan individu terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum pergaduhan itu melibatkan beberapa pelajar lain.
Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu terbabit serta peranan masing-masing.
Dalam operasi pada 7 Oktober, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Seorang daripada 14 individu yang ditahan merupakan warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis kini mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu ditahan serta mendapatkan laporan perubatan mangsa. Kerjasama turut dijalinkan dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.
Rosdi mengingatkan bahawa tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan objek sebagai senjata merupakan kesalahan serius.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, manakala pelajar diingatkan supaya tidak terlibat dalam pergaduhan atau provokasi.


Leave feedback about this