
Gwen Mia Ditemui Selamat Selepas 33 Jam Hilang
KOTA KINABALU, 28 Julai – Gwen Mia yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat selepas 33 jam usaha pencarian, sekali gus melegakan ahli keluarga dan masyarakat yang mengikuti perkembangan kes itu.
Perkara itu disahkan ahli keluarganya, Jaime Crystal, menerusi hantaran di Facebook petang tadi.
Menurut Jaime, keluarga menerima maklumat mengenai keberadaan Gwen Mia kira-kira jam 3 petang sebelum bergegas ke balai polis dan bertemu dengannya.
“Segala puji bagi Tuhan, Mia telah ditemui dalam keadaan selamat. Dia masih sedikit keliru, namun berada dalam keadaan selamat dan itulah yang paling penting,” katanya.
Beliau berkata, sokongan luar biasa daripada orang ramai yang berkongsi maklumat, menyemak rakaman kamera papan pemuka (dashcam) serta mendoakan keselamatan Gwen Mia banyak membantu usaha pencarian.
Jaime turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak SM Lok Yuk, guru, ibu bapa, pelajar, pertubuhan, gereja, rakan-rakan dan semua individu yang menghulurkan bantuan sepanjang operasi pencarian.
Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas media yang mendapatkan kebenaran keluarga sebelum menyiarkan berita kehilangan Gwen Mia, sambil menyifatkan pengalaman itu membuktikan semangat keprihatinan dan kebersamaan masyarakat masih utuh.


Leave feedback about this