Tempatan Utama

Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion

PEMBERIAN KHAS SABAH, SARAWAK NAIK TIGA KALI GANDA, RM1.5 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak sebanyak tiga kali ganda, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bayaran berkenaan akan dilunaskan sebelum penghujung tahun ini, manakala rundingan bersama kedua-dua kerajaan negeri diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil dan mampan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar Pemberian Khas sebelum ini tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional yang menjadi tanggungjawab seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI, antaranya pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Pelabuhan Bintulu telah diserahkan kepada Sarawak untuk menjadi pelabuhan milik kerajaan negeri berkenaan.

Anwar turut memaklumkan bahawa MASWings telah diserahkan kepada Sarawak dan dijenamakan sebagai AirBorneo, manakala Kerajaan Persekutuan terus menyediakan subsidi berjumlah RM209 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 820,000 penumpang di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, peruntukan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bagi 2027 dikekalkan pada paras tertinggi.

Sabah diperuntukkan sebanyak RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion bagi tempoh sama.

Kerajaan Persekutuan turut bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, langkah itu membolehkan seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.

Leave feedback about this

  • Rating