
GAJI MINIMUM NAIK RM2,000 MULAI JUN 2027, PMKS BAWAH RM50 JUTA DIKECUALIKAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, langkah yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani isu pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.
Beliau berkata, kadar pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah, iaitu 33.9 peratus, sekali gus memerlukan perhatian kerajaan bagi meningkatkan pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta setahun dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Anwar berkata, gaji minimum hanya menetapkan paras terendah pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan kelayakan mereka.
Sehubungan itu, kerajaan akan memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Anwar turut menyeru majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah kerajaan, GLIC dan GLC dalam menawarkan kadar upah yang lebih wajar kepada pekerja, termasuk mencontohi syarikat dalam sektor perbankan serta minyak dan gas yang sudah menawarkan gaji lebih baik.
Sementara itu, beliau berkata, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.
Langkah itu bertujuan menutup ruang kepada majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin.
— TAMAT —


Leave feedback about this