Tempatan Utama

Fasa Peralihan Monsun Bermula 9 Oktober, Sabah Berdepan Risiko Ribut Petir

Fasa Peralihan Monsun Bermula 9 Oktober, Sabah Berdepan Risiko Ribut Petir

KOTA KINABALU: Fasa peralihan monsun dijangka bermula 9 Oktober ini dan berterusan sehingga penghujung Oktober, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), perubahan corak angin kepada tiupan yang lebih lemah dan datang dari pelbagai arah boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.

Keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat, kilat serta angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam.

Sabah dan Sarawak, khususnya kawasan barat, antara kawasan yang perlu diberi perhatian sepanjang tempoh peralihan berkenaan.

Ramalan cuaca MetMalaysia bagi Sabah turut menunjukkan ribut petir di beberapa kawasan pada 7 hingga 9 Oktober, termasuk pada waktu pagi, petang dan malam.
Keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan terhadap struktur yang tidak kukuh.

Bagi kawasan perairan barat Sabah dan Labuan, ribut petir turut diramalkan berlaku di beberapa tempat dalam tempoh sama, dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara 1 hingga 1.5 meter.

Sementara itu, berakhirnya Monsun Barat Daya dijangka membantu mengurangkan secara beransur-ansur kesan jerebu rentas sempadan berikutan perubahan arah pergerakan angin.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia menerusi laman rasmi, aplikasi myCuaca serta saluran media sosial rasmi jabatan.
Sumber: MetMalaysia

Leave feedback about this

  • Rating