Tempatan Utama

Sindiket ‘Bomoh’ Perdaya Mangsa, Kerugian Cecah RM600,000

Sindiket ‘Bomoh’ Perdaya Mangsa, Kerugian Cecah RM600,000

KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional, upacara keagamaan dan tilikan nasib dipercayai memperdaya mangsa sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan 12 individu, termasuk tujuh wanita warga China, dalam beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud pada Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD).

Katanya, tangkapan membabitkan 10 wanita dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya.

“Di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai mendekati mangsa dengan menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara sembahyang bagi membuang sial.

“Mangsa dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau sembahyang.

“Wang atau barang kemas itu kemudian dilarikan atau ditukar dengan barangan lain sebelum dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya.

Mohd Azhar berkata, mangsa biasanya diarahkan supaya tidak membuka plastik atau beg berkenaan dalam tempoh tertentu bagi memberi masa kepada suspek melarikan diri.

Sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima hingga enam kes dan aktif sejak awal tahun ini, termasuk di Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM, tujuh pasport, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia, Renminbi dan Baht Thailand berjumlah kira-kira RM20,000 serta lima kenderaan.

Suspek bagi kes di Kota Kinabalu direman sehingga 14 Ogos dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan,” katanya.

Mohd Azhar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan khidmat rawatan, menilik nasib atau upacara membuang sial, terutama jika diminta menyerahkan wang tunai atau barang kemas.

Orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mengesan aktiviti mencurigakan dengan modus operandi sama diminta segera membuat laporan kepada polis bagi membantu siasatan.

Leave feedback about this

  • Rating