
DBKK: Parkir Pusat Bandar Mencukupi, Jangan Halang Laluan
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan menggunakan kemudahan parkir yang sah berikutan kapasiti parkir di pusat bandar secara keseluruhannya masih mencukupi.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata terdapat kira-kira 20,000 petak parkir, termasuk 4,005 petak parkir awam di beberapa lokasi.
Antara kemudahan parkir disediakan ialah KK Plaza sebanyak 452 petak dan Menara Jubli sebanyak 276 petak, masing-masing dengan kadar RM1 sejam.
Selain itu, The Shore mempunyai 700 petak, Wisma Merdeka (750), Warisan Square (500) dan Oceanus (800).
Sabin berkata, keinginan meletakkan kenderaan berhampiran destinasi bukan alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan parkir.
“DBKK melaksanakan penguatkuasaan parkir, termasuk penundaan kenderaan, bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki bebas daripada halangan serta menjaga keselamatan dan kepentingan awam.
“Parkir berganda dan tindakan menghalang lalu lintas menjejaskan pengguna lain serta menyebabkan kesesakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, kawasan yang sering menerima aduan berkaitan kesalahan parkir termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.
Katanya, kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera sekiranya kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu.
“Sebelum penundaan, anggota penguat kuasa memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan. Jika arahan tidak dipatuhi, penundaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir untuk membuka semula laluan,” katanya.
Sabin berkata, berdasarkan rekod DBKK, sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai kompaun terdahulu yang belum diselesaikan, malah ada kes mencecah 200 kompaun dengan nilai terkumpul sehingga RM40,000.
“Ini menunjukkan terdapat kesalahan berulang dan tanggungan yang terkumpul. Justeru, pemilik diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan bagi jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan.
Dalam pada itu, Sabin menegaskan DBKK tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir, walaupun undang-undang kecil berkenaan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur.
Katanya, lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan serta penggunaan ruang awam.
DBKK, katanya, komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten serta menyeru orang ramai mematuhi peraturan parkir demi memastikan Kota Kinabalu kekal teratur, selamat dan selesa untuk semua.


Leave feedback about this