
Pusat Rawatan Jantung Sabah catat sejarah, pasang perentak jantung tanpa wayar pertama Malaysia Timur
KOTA KINABALU: Pusat Rawatan Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mencatat sejarah selepas berjaya menjalankan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) Aveir VR, yang pertama di Malaysia Timur.

Menurut perkongsian HQE II di Facebook, kejayaan itu menyusul selepas hospital berkenaan diiktiraf pada 10 September lalu sebagai salah satu daripada tiga pusat bertauliah di Malaysia yang mempunyai pakar perubatan sah untuk menjalankan prosedur kardiologi berteknologi tinggi.
Prosedur sulung itu diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Datuk Dr Liew Houng Bang dan Pakar Kardiologi, Dr Foo Jhi Hui bersama seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II.
HQE II turut merakamkan penghargaan kepada Dr Saravanan Krishinan, Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Elektrofisiologi, atas bimbingan serta khidmat nasihat sebagai proktor sepanjang prosedur implan berkenaan.
Teknologi Aveir VR mempunyai saiz mikro, jauh lebih kecil berbanding bateri AAA dan menawarkan ketahanan bateri yang tinggi.
Berbeza dengan perentak jantung konvensional, peranti berkenaan dimasukkan terus ke dalam jantung tanpa memerlukan potongan pada dada pesakit atau penggunaan wayar transvenous.
Menurut HQE II, kaedah itu membolehkan prosedur dilakukan secara invasif minimum, sekali gus membantu mengurangkan risiko komplikasi dan mempercepatkan pemulihan pesakit.
Kejayaan berkenaan turut hasil kerjasama erat antara Pusat Rawatan Jantung Sabah dan pasukan Abbott Cardiac Rhythm Management, sekali gus membuka lembaran baharu dalam penggunaan teknologi perubatan invasif minimum di Borneo.
HQE II menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan membanggakan bagi pasukan elektrofisiologi kardiologi serta langkah penting dalam meningkatkan akses kepada teknologi rawatan jantung berteknologi tinggi untuk rakyat Sabah dan rantau Borneo.


Leave feedback about this