Tempatan Utama

RM18.7 bilion untuk Sabah, pembangunan pedalaman terus jadi keutamaan – Arthur Kurup

Belanjawan 2027: Pembangunan pedalaman Sabah terus diberi keutamaan – Arthur Kurup

KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pedalaman Sabah terus diberi keutamaan.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata komitmen itu dapat dilihat menerusi peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah, peningkatan Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion tahun ini serta usaha mempercepat penyelesaian isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pembangunan jaringan perhubungan dan prasarana asas perlu terus menjadi keutamaan, khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya, peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak dijangka memberi impak besar kepada pergerakan rakyat serta kegiatan ekonomi setempat.

Antara projek utama ialah sasaran penyiapan Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung 2027.

“Peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM350 juta khusus untuk kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak bukan sahaja akan mempercepat pembaikan jalan awam, malah menyokong usahawan berskala kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup penduduk luar bandar, Arthur berkata kerajaan turut memperluas program pengedaran barangan asas ke lokasi baharu, termasuk Kampung Terian di Penampang dan Kampung Sarawak, bagi memastikan barangan keperluan harian kekal pada harga berpatutan.

Beliau berkata, perkhidmatan keselamatan dan pentadbiran di kawasan pedalaman juga akan diperkasakan menerusi pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau serta penyediaan kemudahan kuarters di Depot Tahanan Imigresen Papar.

Selain itu, usaha menstabilkan bekalan elektrik akan dilaksanakan melalui Sistem Statcom dan Talian Penghantaran Southern Link.

Menurutnya, pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain penyerahan kuasa kawal selia gas dengan pembiayaan RM600 juta, turut membawa makna penting dalam memperkukuh ekonomi negeri.

Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, Arthur menyambut baik peningkatan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Borneo setiap tahun serta penyediaan dana hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut yakin penambahbaikan pusat penjaja di Arena Niaga Kunak dan Hentian Telupid, penganjuran Tamu Desa serta peluasan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah tempatan mampu merancakkan ekonomi komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan dan rakyat Sabah supaya bersama-sama menjayakan pelaksanaan setiap inisiatif dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan tiada wilayah atau penduduk terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Leave feedback about this

  • Rating