Tempatan Utama

SABAH TELITI INISIATIF KHAS TANGANI CABARAN SEKTOR KESIHATAN

SABAH TELITI INISIATIF KHAS TANGANI CABARAN SEKTOR KESIHATAN

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti cadangan pelaksanaan satu inisiatif khas bagi membantu menangani pelbagai cabaran dalam sektor kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu perlu dipertimbangkan memandangkan masih banyak isu berkaitan kesihatan yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, Tuaran, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti sukan serta program kecergasan yang dilaksanakan secara berterusan.

Hajiji berkata, Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu gerakan untuk membudayakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian masyarakat.

Katanya, sukan bukan sahaja membantu melahirkan masyarakat yang sihat, malah berperanan menyatukan rakyat tanpa mengira umur, kaum, agama dan latar belakang.

Sabah menyasarkan penyertaan seramai 651,610 orang sempena sambutan Hari Sukan Negara tahun ini, dengan pelaksanaan program diperluaskan ke beberapa daerah bagi menggalakkan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain Tuaran, sambutan turut dilaksanakan di lima zon lain, iaitu Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau.

Beliau berkata, kejayaan membudayakan sukan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program atau peserta semata-mata, sebaliknya melalui kesediaan rakyat menjadikan aktiviti fizikal sebagai amalan harian.

Hajiji turut berharap sambutan itu menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program sukan dan rekreasi yang inklusif serta mampu menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.

Katanya, platform berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti atlet remaja berpotensi di peringkat daerah bagi diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Leave feedback about this

  • Rating