
Belanjawan 2027 perkasa pendidikan Sabah dan Sarawak, tajaan JPA diganda
KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 meletakkan pemerkasaan modal insan Sabah dan Sarawak sebagai antara agenda utama menerusi pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekosistem pendidikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, antara langkah utama Kerajaan Persekutuan ialah menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal.
Katanya, kerajaan turut memperuntukkan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak.
Selain itu, peruntukan penyelenggaraan sekolah digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, selain pembinaan bangunan prasekolah baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou, Keningau.
Dalam aspek kebajikan pelajar, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, manakala RM870 juta disediakan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Kerajaan turut menyediakan elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan Enam.
Mustapha berkata, bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 bagi membantu mahasiswa Sabah dan Sarawak, selain peruntukan RM800 juta untuk menaik taraf prasarana institusi pengajian tinggi (IPT) serta memperluas program Dapur Siswa MADANI.
Menurutnya, empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka memberi kelegaan kewangan kepada lebih 400,000 peminjam di Borneo.
Inisiatif berkenaan termasuk penangguhan bayaran balik pada 2027 bagi peminjam berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, diskaun 10 peratus kepada pembayar teratur serta potongan cukai majikan bagi tempoh 2027 hingga 2028.
Dalam usaha memperkasa kemahiran anak muda, sebanyak RM8 bilion disediakan bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain RM500 juta pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Anak muda turut diberikan akses kepada 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma dan 16,000 kursus digital.
Bagi memastikan pendidikan lebih inklusif, Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, di samping penambahan insentif guru pendidikan khas dan pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa.
Mustapha berkata, pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak perlu bermula dengan ekosistem pendidikan berkualiti.
Justeru, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan kompeten mengikut keperluan industri semasa. — BERNAMA


Leave feedback about this