Tempatan Utama

PBS Umum Kepimpinan Baharu, Joachim Terajui Parti Penggal 2026-2029

Joachim, Joniston Dipilih Tanpa Bertanding Terajui PBS

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai masing-masing dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026–2029.

Setiausaha Agung PBS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Julita Mojungki berkata, Dr. Joachim yang memangku jawatan presiden sejak tiga tahun lalu muncul sebagai calon tunggal bagi jawatan itu selepas pencalonan ditutup pada 31 Julai.

Menurutnya, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Bukan Islam, manakala Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharram, turut dipilih tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Islam selepas seorang lagi calon gagal memenuhi syarat minimum tiga pencalonan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Datuk Lo Su Fui dan Goon Thien Shang.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, tiga calon akan merebut dua kerusi kuota Bumiputera Bukan Islam, enam calon bersaing bagi dua kerusi kuota Bumiputera Islam, manakala lima calon bertanding bagi satu kerusi kuota Cina.

Julita berkata, seramai 28 calon akan bertanding bagi tujuh kerusi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) kuota Bumiputera Bukan Islam, 23 calon bagi lima kerusi kuota Bumiputera Islam dan 15 calon bagi empat kerusi kuota Cina.

Beliau berkata, PBS menerima sebanyak 79 pencalonan bagi semua jawatan parti, dengan lebih separuh daripada calon merupakan muka baharu.

Sementara itu, Dr. Joachim berkata, sambutan menggalakkan terhadap pemilihan parti menunjukkan semakin ramai berminat menyertai dan berkhidmat dalam PBS, sekali gus menjadi petanda positif kepada proses peremajaan parti.

Beliau berkata, mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBS turut membincangkan persiapan Kongres PBS yang dijadual berlangsung pada September bagi memperkukuh perpaduan parti, memperbaharui komitmen perjuangan serta merangka hala tuju masa depan demi kepentingan rakyat dan Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating