
Lori Simen Terbalik di Jalan Kampung Bariawa Ulu, Lelaki 40 Tahun Maut
KENINGAU: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah lori simen yang terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.02 pagi sebelum 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke lokasi.
Ketua BBP Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pasukan tiba di lokasi pada jam 7.10 pagi dan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.
Katanya, berdasarkan maklumat orang awam, terdapat mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan.
Sebuah lori kren tiba di lokasi pada jam 10.34 pagi bagi membantu mengangkat lori simen yang terbalik untuk memudahkan operasi mencari dan mengeluarkan mangsa.
Pada jam 10.38 pagi, mangsa berjaya dikesan dan ditemukan di dalam lori berkenaan.
Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan kematiannya disahkan di lokasi kejadian.
Operasi mengeluarkan mangsa selesai pada jam 10.58 pagi sebelum pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.


Leave feedback about this