
HANYA 47 DARIPADA 138 DOKTOR LUAR SABAH LAPOR DIRI
KOTA KINABALU: Hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijadualkan ditempatkan di hospital seluruh negeri dilaporkan hadir bertugas, iaitu kira-kira 34 peratus.
Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, angka itu hanya membabitkan penempatan di hospital dan tidak termasuk pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah serta klinik kesihatan kerajaan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menerbitkan dan mengesahkan angka pelaporan lengkap bagi seluruh Sabah supaya keadaan sebenar dapat dinilai dengan tepat.
Menurutnya, kekurangan tenaga kerja menyebabkan beberapa jabatan terpaksa menyusun jadual tugas panggilan dengan lebih kerap, sekali gus meningkatkan beban tugas pegawai perubatan yang masih bertugas.
Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa kerajaan memperkukuh insentif bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, termasuk menambah baik Bayaran Insentif Wilayah (BIW), menyediakan insentif khusus untuk Malaysia Timur serta meningkatkan bantuan perpindahan.
MMA Sabah turut mencadangkan penambahbaikan kuarters, kemudahan asas, peluang latihan dan pembangunan kerjaya serta kepastian mengenai tempoh penempatan doktor di Sabah dan Sarawak.
Dr Brandon berkata, kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan dengan memperbaiki kuarters kakitangan, menyediakan sokongan pengangkutan serta meningkatkan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan internet khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperkukuh biasiswa dan bantuan kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan serta latihan kepakaran bagi menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negeri ini.
MMA Sabah juga menggesa kerjasama lebih tersusun antara kerajaan negeri, KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak berkepentingan bagi memantau keperluan tenaga kerja serta mengenal pasti fasiliti yang memerlukan tindakan segera.
“Sabah memerlukan doktor yang berada di lapangan, mendapat sokongan mencukupi, bekerja dalam keadaan selamat dan munasabah serta mempunyai peluang untuk berkembang dalam kerjaya.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bergerak bersama supaya isu penempatan dan pengekalan doktor dapat ditangani secara lebih menyeluruh,” katanya.


Leave feedback about this