Tempatan Utama

“Berapa Lama Lagi Mahu Tunggu Putrajaya?” – Sabah Digesa Ambil Tindakan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah digesa mengambil langkah sendiri bagi menangani masalah kekurangan doktor yang kini semakin serius, dan tidak hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.

Dr Istefan Koh berkata, walaupun pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Sabah masih mempunyai ruang untuk menyediakan insentif serta kemudahan bagi menarik dan mengekalkan doktor di negeri ini.

Katanya, laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah mengenai hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijangka melapor diri di hospital negeri ini menunjukkan isu berkenaan memerlukan tindakan lebih proaktif.

“Kerajaan negeri memang tidak mempunyai kuasa penuh terhadap pelantikan doktor, tetapi itu tidak bermakna Sabah tidak boleh melakukan apa-apa.

“Persoalannya sekarang ialah, apakah yang boleh Sabah lakukan dengan kuasa dan sumber yang kita ada?” katanya.
Beliau berkata kekurangan doktor akhirnya memberi kesan kepada pesakit melalui peningkatan beban kerja, masa menunggu yang lebih panjang serta risiko keletihan dalam kalangan petugas kesihatan.

Dr Istefan berkata kerajaan negeri boleh mempertimbangkan insentif tambahan, bantuan perpindahan, kemudahan perumahan dan pengangkutan, selain insentif khas kepada doktor yang berkhidmat di kawasan pedalaman serta hospital yang mengalami kekurangan tenaga kerja.

Beliau turut mencadangkan penubuhan biasiswa perubatan negeri dengan syarat penerima kembali berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian.

“Doktor adalah aset. Kalau kita mahu doktor datang dan kekal di Sabah, kita mesti memberikan mereka sebab untuk memilih Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Istefan berkata Sabah juga perlu mempunyai peranan lebih besar dalam merancang keperluan kesihatan negeri berdasarkan realiti dan keperluan tempatan.
Katanya, perbincangan mengenai pengurusan kesihatan di peringkat negeri tidak seharusnya tertumpu kepada struktur pentadbiran semata-mata, sebaliknya melibatkan kuasa membuat keputusan, peruntukan dan mekanisme tindakan.

Beliau mencadangkan penubuhan badan khusus tenaga kerja kesihatan Sabah yang melibatkan Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta wakil profesional perubatan.

Badan itu, katanya, boleh memantau keperluan doktor, kadar melapor diri, kekosongan mengikut hospital dan kadar doktor yang meninggalkan Sabah.

“Rakyat tidak mahu melihat siapa yang menyalahkan siapa. Rakyat mahu melihat siapa yang mengambil tindakan,” katanya.

Dr Istefan berkata Sabah perlu beralih daripada pendekatan “menunggu dan berbincang” kepada tindakan yang lebih proaktif bagi memastikan doktor bukan sahaja datang berkhidmat, tetapi turut kekal di negeri ini.

Leave feedback about this

  • Rating