
Kekurangan pakar perubatan dijangka cecah 13,000 menjelang 2030
KOTA KINABALU: Malaysia dijangka berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030 sekiranya tiada penstrukturan signifikan terhadap tawaran kerjaya dalam sektor kesihatan.
Pengerusi Beckbencers (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, isu kekurangan doktor di negara ini sudah berada pada tahap serius dan memerlukan tindakan segera kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kerajaan perlu menawarkan skim perkhidmatan yang lebih menarik bagi memastikan doktor tempatan terus kekal berkhidmat di negara ini.
“Kerajaan perlu mengembalikan sistem tawaran jawatan tetap kepada doktor kerajaan termasuk doktor pakar, selain menyediakan tawaran gaji baharu yang lebih konsisten.
“Tawaran lantikan secara kontrak hanya sesuai untuk doktor perubatan yang didatangkan dari luar negara,” katanya.
Masiung berkata, Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak juga hampir mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
Menurutnya, BIMB Securities Research meramalkan Malaysia akan berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030.
Katanya, isu kekurangan doktor di Sabah turut disuarakan Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang baru-baru ini.
“Doktor tempatan dan lepasan graduan perubatan negara ini lebih memilih berhijrah ke luar negara kerana kurang berminat dengan sistem perkhidmatan secara kontrak yang ditawarkan KKM.
“Selain itu, tawaran gaji lumayan serta kadar tukaran wang asing yang lebih tinggi di beberapa negara maju turut menarik minat mereka berhijrah,” katanya.
Masiung berkata, beliau pernah menerima luahan doktor perubatan Malaysia yang berkhidmat di Singapura berhubung masa depan kerjaya mereka di negara ini.
“Mereka beranggapan kerjaya doktor tiada masa depan di negara ini selepas KKM menawarkan perkhidmatan kontrak dengan nilai rendah tanpa fleksibiliti kerja,” katanya.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur kesihatan termasuk pembinaan hospital baharu perlu diseimbangkan dengan keupayaan negara melahirkan dan mengekalkan tenaga pakar.
Katanya, usaha mengekalkan jururawat berpengalaman turut semakin mencabar berikutan persaingan tawaran pekerjaan di luar negara serta persaingan mendapatkan tenaga kerja antara hospital kerajaan dan swasta.
Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu berharap isu kekurangan doktor dan pakar perubatan dapat ditambah baik menerusi Belanjawan negara yang dijadual dibentangkan hujung tahun ini.
“Masalah utama Malaysia bukan kekurangan graduan perubatan, sebaliknya kekurangan pakar serta cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi antara tulang belakang hospital kerajaan.
“Oleh itu saya akan membawa isu kekurangan pakar perubatan di negara ini khususnya Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung awal November ini,” katanya.


Leave feedback about this