
Hajiji, PETRONAS bincang pengukuhan industri minyak dan gas Sabah
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (PETRONAS), YBhg. Datuk Ir. (Dr.) Bacho Pilong, hari ini bagi membincangkan perkembangan serta kerjasama berkaitan industri minyak dan gas di Sabah.
Pertemuan itu turut membincangkan potensi dan peluang yang boleh diperkasakan dalam sektor berkenaan, termasuk usaha memperluaskan penyertaan Sabah serta syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PETRONAS bagi memastikan sumber dan potensi minyak dan gas Sabah dapat dimanfaatkan sebaiknya demi pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kerjasama strategik berterusan dengan PETRONAS penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada Sabah dan pemain industri tempatan untuk mengambil bahagian dalam sektor minyak dan gas.
Kerajaan Negeri juga komited memastikan potensi sumber negeri terus diterokai secara optimum dengan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi serta rakyat Sabah.
Pertemuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan PETRONAS untuk memperkukuhkan kerjasama dalam sektor minyak dan gas, yang kekal sebagai antara sektor penting kepada ekonomi Sabah.


Leave feedback about this