Tempatan Utama

Isteri Koperal Chiu, Tang Wei Wei rayu bantuan

KOTA KINABALU: Keluarga mendiang Koperal Chiu Teck Siong, 41, yang maut akibat renjatan elektrik ketika memetik kelapa di Kampung Weston, Beaufort, baru-baru ini, merayu bantuan kewangan dan sokongan moral daripada kerajaan serta wakil rakyat.

Menurut laporan Utusan Borneo, isterinya, Tang Wei Wei, 39, berkata kehilangan suaminya secara mengejut menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan lima anak mereka yang masih kecil.

Katanya, mendiang sepatutnya pulang ke Sibu, Sarawak pada 27 Ogos ini untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Pertemuan terakhir mendiang bersama anak-anak adalah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

Namun, hasrat untuk berkumpul semula bersama keluarga tidak kesampaian selepas mendiang terkorban dalam kejadian tragis berkenaan.

Dalam kejadian pada 6 Ogos lalu, tiga anggota polis maut selepas galah besi yang digunakan dipercayai terkena kabel elektrik ketika mereka berada di kawasan Kampung Weston.

Dua lagi mangsa ialah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dan Konstabel Muhammad Nur Hafiz Ibrahim, 29.

Leave feedback about this

  • Rating