Tempatan Utama

Hajiji mahu UCSF buka pintu kepada pelajar antarabangsa

Hajiji mahu UCSF buka pintu kepada pelajar antarabangsa

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) sudah tiba masanya membuka pintu kepada pelajar antarabangsa bagi meningkatkan reputasi global institusi berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu bukan sahaja dapat memperluaskan jaringan pendidikan, malah merangsang perkongsian ilmu dan memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

Katanya, usaha UCSF memperkukuhkan jaringan antarabangsa menerusi hubungan strategik dengan institusi pendidikan di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina membuktikan institusi itu tidak lagi melihat sempadan geografi sebagai batas kepada kecemerlangan.

“Sebaliknya, universiti ini sedang membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama serta pembangunan komuniti rentas negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-4 UCSF di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Canselor UCSF berkata, usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa itu turut berupaya mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan, khususnya di rantau Borneo dan kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Menurutnya, sebagai institusi pendidikan tinggi milik Yayasan Sabah, UCSF bukan sekadar menjadi pusat penyampaian ilmu, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi baharu Sabah yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau turut menyambut baik usaha UCSF memperluaskan penawaran akademik menerusi pembukaan program baharu seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains serta pembangunan program Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian).

“Usaha membangunkan program Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan bahawa UCSF sedang melangkah ke fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu pada tahap lebih tinggi.

“Inilah transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, UCSF juga merupakan antara institusi utama yang membekalkan tenaga mahir kepada industri pelancongan dan perhotelan di Sabah.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji berkata agenda pembangunan modal insan negeri terus diperkukuhkan dengan peruntukan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.

Katanya, peruntukan itu merangkumi tajaan pelajar sedia ada dan tajaan baharu bagi 2026, membabitkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang.

“Ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut komited meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan, termasuk 14 inisiatif yang diperkenalkan sejak 2021.

Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

“Langkah yang kita ambil ini adalah untuk membantu pelajar serta keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berharap pelajar terus mengekalkan kecemerlangan serta menerokai bidang strategik yang menjadi pemacu pembangunan masa hadapan.

Antaranya termasuk sektor minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau yakin dengan sokongan kepimpinan UCSF, Lembaga Pengarah, pengurusan, warga akademik, warga kerja universiti serta Yayasan Sabah, institusi itu mampu terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Sumber Warta Oriental

Leave feedback about this

  • Rating