Tempatan Utama

Doktor muda dapat berita gembira, lebih 13,000 jawatan tetap ditawarkan

Lebih 13,000 doktor kontrak bakal terima jawatan tetap, Davina sambut baik Belanjawan 2027

KOTA KINABALU: Tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak di bawah Belanjawan 2027 dijangka memberi kelegaan kepada doktor muda, selain membantu memperkukuh tenaga kerja kesihatan awam dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dr. Davina Markus berkata, lebih 4,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini, manakala lebih 9,000 lagi dijangka menerima tawaran pada tahun hadapan.

Beliau berkata, bermula tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan.

Menurutnya, kepastian kerjaya amat penting bagi doktor muda yang telah menghabiskan bertahun-tahun menjalani pengajian perubatan, latihan siswazah dan perkhidmatan sebelum memperoleh peluang kerjaya yang lebih stabil.

Katanya, langkah mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi mempercepatkan rawatan, mengurangkan kesesakan hospital dan menambah baik kemudahan wad.

Dalam pada itu, Dr. Davina turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.

Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan amat penting bagi Sabah kerana masih ramai penduduk di kawasan pedalaman perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar dapat diteruskan supaya penduduk di kawasan terpencil turut menikmati kemudahan rawatan yang lebih baik.

Dr. Davina turut menekankan kepentingan bantuan saringan kesihatan awal bagi membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan darah tinggi sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Beliau menggalakkan orang ramai supaya tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Selain sektor kesihatan, beliau berkata peluasan pelepasan cukai individu yang diumumkan turut membantu keluarga mengurus perbelanjaan, termasuk bagi penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta perbelanjaan tertentu berkaitan vaksinasi dan haiwan peliharaan.

Secara keseluruhan, Dr. Davina menyambut baik perhatian yang diberikan kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2027 dan berharap semua inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada doktor muda yang bakal menerima tawaran jawatan tetap serta berharap perkembangan itu menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Leave feedback about this

  • Rating