
Beliawanis Prihatin cetus penubuhan Food Bank UNITAR Sabah
KOTA KINABALU: Inisiatif Beliawanis Prihatin anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjadi pemangkin kepada penubuhan Food Bank UNITAR Sabah bagi membantu kebajikan pelajar yang berdepan kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan keperluan makanan.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Idang berkata, program itu merupakan antara projek utama Beliawanis tahun ini selepas pihaknya menerima maklum balas mengenai kesukaran yang dihadapi sebahagian mahasiswa.
Katanya, terdapat anak muda yang berdepan keadaan sehingga sukar mendapatkan makanan mencukupi, sekali gus mendorong Beliawanis mengambil inisiatif membantu golongan berkenaan.
“Apabila saya bercakap dengan rakan-rakan, mereka memberitahu ada dalam kalangan rakan sebaya kita yang tidak mampu mendapatkan walaupun satu hidangan sehari.
“Jadi, kami mengambil perkara itu dalam pertimbangan dan merasakan sudah tiba masanya untuk kita membantu pelajar,” katanya ketika berucap pada Program Beliawanis Prihatin di UNITAR Sabah, di sini, Jumaat.
Emmie berkata, usaha Beliawanis tidak terhad kepada bantuan makanan, sebaliknya turut merancang pelbagai program yang memberi manfaat kepada pembangunan anak muda termasuk kemahiran pemasaran digital.
“Kami akan cuba melihat apa yang anak-anak muda perlukan, mendengar mereka dan bekerjasama dengan pelajar mengenai perkara yang mahu mereka lakukan.
“Walaupun kami merupakan sebuah sayap parti politik, kami tetap mementingkan kepentingan anak-anak muda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif UNITAR Sabah, Vanessa Faye George berkata, sumbangan menerusi Beliawanis Prihatin memberi manfaat khususnya kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan mereka yang tinggal jauh daripada keluarga.
Menurutnya, UNITAR Sabah mempunyai kira-kira 1,600 pelajar konvensional dengan kira-kira 70 peratus daripadanya berasal dari kawasan pedalaman Sabah.
Katanya, pihak universiti sebelum ini sudah merancang untuk mewujudkan food bank, namun usaha itu belum dapat direalisasikan kerana kekurangan penderma.
“Apabila Beliawanis datang dan menyatakan mereka mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, kami mengambil keputusan untuk merealisasikannya.
“Disebabkan usaha Beliawanis, UNITAR Sabah kini mempunyai food bank,” katanya.
Pelajar tahun pertama Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UNITAR, Fasha Adila Mah Xiu Ling, 20, berkata bantuan berkenaan amat bermakna terutama kepada mahasiswa dari kawasan pedalaman dan keluarga kurang berkemampuan.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNITAR sesi 2025/2026, Nicholas Jason, 23, pula berkata, bantuan makanan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban mahasiswa berikutan peningkatan kos sara hidup.
Program Beliawanis Prihatin setakat ini telah digerakkan di sembilan lokasi membabitkan institusi pendidikan, asrama, pusat tahfiz dan rumah kebajikan di beberapa daerah di Sabah.
Antara lokasi terbabit ialah City University, Rumah Bakti Harapan Inanam, Rumah Anak Yatim Al Aman Beaufort, Asrama Butitin Nabawan, North Borneo University College (NBUC), University College Sabah Foundation (UCSF), Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Aminuddin Papar, Almacrest International College dan UNITAR Sabah.
Gerakan itu akan diteruskan dengan program di Rumah Anak Yatim Kampung Bobot, Kota Belud dan sebuah rumah anak yatim di Kudat pada bulan ini.


Leave feedback about this