
Beza Hampir RM1,000 Tambang KK-KL Dalam Beberapa Hari Dipersoal
KOTA KINABALU: Perbezaan harga hampir RM1,000 bagi tiket penerbangan sehala Kota Kinabalu-Kuala Lumpur untuk tarikh perjalanan yang hanya berbeza beberapa hari dipersoalkan sebagai tidak munasabah.
Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC), Datuk Michael Lui berkata, kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan perlu meneliti semula mekanisme penetapan tambang penerbangan domestik bagi memastikan harga yang dikenakan lebih adil kepada pengguna.
Beliau yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) berkata, alasan seperti musim pelancongan puncak, permintaan pasaran dan sistem harga dinamik syarikat penerbangan tidak seharusnya menjadi satu-satunya penjelasan terhadap kenaikan mendadak tambang.
Sebagai contoh, katanya, tiket sehala Kota Kinabalu-Kuala Lumpur berharga RM1,639 bagi perjalanan pada 13 Ogos, RM1,069 pada 17 Ogos dan hanya RM659 pada 20 Ogos.
“Persoalannya, adakah harga sedemikian munasabah dan apakah asas kepada perbezaan harga yang begitu ketara dalam tempoh singkat?” katanya.
Michael berkata, isu kapasiti penerbangan juga perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan jumlah pelancong ke Sabah.
Katanya, pertambahan pelancong yang tidak disusuli peningkatan jumlah penerbangan dan kapasiti tempat duduk boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan, sekali gus mendorong kenaikan tambang.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan, syarikat penerbangan serta pihak berkuasa pelancongan Sabah meneliti secara terbuka kekerapan penerbangan, kapasiti tempat duduk dan pergerakan tambang, khususnya sepanjang Julai dan Ogos.
Michael menegaskan kenyataannya bukan ditujukan kepada mana-mana syarikat penerbangan, sebaliknya bertujuan menggalakkan kajian lebih menyeluruh terhadap mekanisme tambang domestik dan kapasiti penerbangan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perjalanan udara antara Sabah dan Semenanjung lebih adil serta munasabah kepada pengguna.


Leave feedback about this