
UMNO Kalabakan seru ahli sumbang Tabung Solidariti Najib
KALABAKAN: UMNO Bahagian Kalabakan menyeru ahli, penyokong dan akar umbi parti di Parlimen Kalabakan menzahirkan solidariti serta penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sumbangan kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib.
Ketuanya, Samasuddin Yusop, berkata sumbangan boleh disalurkan mengikut kemampuan masing-masing tanpa menetapkan jumlah tertentu, dengan keikhlasan dan semangat setiakawan sebagai keluarga UMNO menjadi keutamaan.
Menurutnya, seruan itu dibuat susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, terhadap Najib.
Katanya, keputusan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.
“Saya menghormati keputusan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi saya dan keluarga besar UMNO Kalabakan, Datuk Seri Najib bukan sekadar seorang bekas Perdana Menteri, tetapi pemimpin yang meninggalkan banyak jasa kepada Sabah, khususnya dalam pembangunan infrastruktur, luar bandar dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Samasuddin berkata, rakyat Kalabakan sentiasa menghargai jasa pemimpin yang pernah berbakti kepada Sabah dan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO, penyokong dan akar umbi di kawasan Parlimen Kalabakan supaya bersama-sama menunjukkan tanda solidariti dan penghargaan menerusi sumbangan kepada tabung berkenaan.
“Tidak kira besar atau kecil sumbangan, yang lebih penting ialah keikhlasan dan semangat setiakawan kita sebagai sebuah keluarga UMNO.
“Kita kenang jasa, kita zahirkan solidariti dan kita terus bersatu,” katanya.


Leave feedback about this