Dalam Negara Tempatan Utama

Sabah Perlu Infrastruktur Lebih Baik Untuk Tarik dan Kekalkan Doktor – Jeffrey

KOTA KINABALU: Kegagalan sebahagian pegawai perubatan baharu melapor diri di Sabah dan Sarawak bukan sekadar isu kekurangan doktor, sebaliknya mencerminkan jurang pembangunan yang masih berlaku di kedua-dua negeri berkenaan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, pelbagai faktor seperti kemudahan asas, kos sara hidup, penginapan dan akses pengangkutan turut mempengaruhi kesediaan penjawat awam untuk berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, laporan awal menunjukkan tiada pegawai perubatan baharu melapor diri di Hospital Keningau, Beluran dan Sipitang di Sabah serta Hospital Kanowit di Sarawak.

Beberapa fasiliti lain pula mencatatkan kadar tidak melapor diri antara 70 hingga 76 peratus.

Bagaimanapun, Jeffrey berkata, Kementerian Kesihatan memaklumkan proses melapor diri masih berlangsung sehingga 7 Oktober, justeru angka berkenaan perlu disahkan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Persoalan lebih besar ialah mengapa penempatan di Sabah dan Sarawak masih kurang menarik walaupun menawarkan pekerjaan tetap?” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, masalah itu tidak boleh dilihat daripada sudut kesihatan semata-mata kerana kawasan penempatan turut berdepan isu jalan raya, bekalan air, elektrik, internet, penginapan dan kos perjalanan.

Beliau berkata, doktor juga tidak seharusnya dipersalahkan secara mudah kerana enggan melapor diri kerana keputusan itu mungkin dipengaruhi kos perpindahan, perpisahan keluarga, beban kerja serta ketidakpastian tempoh penempatan.

Jeffrey turut menggesa kerajaan menyediakan sokongan lebih baik kepada doktor dan penjawat awam yang ditempatkan di lokasi sukar, termasuk elaun kesusahan, bantuan perpindahan, penginapan dan kos perjalanan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti mengambil tanggungjawab masing-masing. Kementerian Kesihatan boleh menyediakan doktor, tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah jalan raya, air, elektrik, perumahan dan kemudahan asas secara bersendirian,” katanya.

Beliau berkata, isu doktor tidak melapor diri perlu dilihat sebagai loceng amaran terhadap jurang pembangunan yang lebih besar.

Jeffrey turut menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang setimpal dengan keluasan wilayah, defisit infrastruktur serta kos penyampaian perkhidmatan.

“Sabah dan Sarawak bukan kawasan pinggiran dalam pembangunan Malaysia,” katanya.

 

Leave feedback about this

  • Rating