Tempatan Utama

Teman Wanita Dakwa Dicabul, Lelaki 23 Tahun Ditahan

Lelaki Ditahan Disyaki Cabul Teman Wanita Dalam Kereta

TAWAU, 24 Ogos – Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul teman wanitanya di dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.01 tengah malam tadi.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.43 malam.

“Siasatan awal mendapati suspek menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka berjumpa.

“Suspek juga pernah memaksa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, namun ditolak oleh mangsa,” katanya.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

ACP Rosdi menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak polis.

Leave feedback about this

  • Rating