
1,000 hektar sawah terbiar Kota Marudu dibangunkan semula
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kira-kira 1,000 hektar tanah sawah terbiar di Kota Marudu dibangunkan semula menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Arise Consulting (Sabah) Sdn. Bhd. dan ABS Greentech Sdn. Bhd.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, MoU itu merupakan yang keenam dimeterai tahun ini dalam usaha memperkasakan industri padi negeri.
Katanya, inisiatif berkenaan turut menyokong sasaran Sabah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus tahap sara diri (SSL) beras menjelang 2030.
“Saya yakin teknologi yang digunakan syarikat di Seberang Perai, Pulau Pinang dapat dipindahkan kepada petani di Sabah bagi mengusahakan semula kawasan sawah yang terbiar,” katanya selepas majlis berkenaan.
Menurut Jamawi, sebahagian kawasan sawah terbabit telah terbiar sehingga 10 tahun, manakala kawasan lain ditinggalkan sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.
Beliau berkata, keadaan itu antara faktor yang menyumbang kepada penurunan SSL beras Sabah apabila banyak kawasan sawah sesuai ditinggalkan generasi terdahulu dan tidak lagi diusahakan golongan muda.
Katanya, pemindahan teknologi kepada pemilik tanah dan golongan muda termasuk penggunaan dron serta teknologi pertanian moden dijangka dapat menarik lebih ramai anak muda menyertai industri padi.
“Golongan muda bukan sahaja akan dilatih menanam padi, tetapi turut didedahkan kepada penggunaan teknologi dron dan teknologi moden lain yang akan diperkenalkan syarikat,” katanya.
Jamawi berkata, MoU berkenaan melibatkan tempoh 10 tahun dan pembangunan tanah akan dilaksanakan menerusi konsep mini estet dengan pengurusan yang lebih tersusun.
Menurutnya, syarikat akan menyewa tanah daripada pemilik tanah serta bekerjasama dengan petani dan pemilik tanah bagi membangunkan semula kawasan sawah.
Sementara itu, wakil syarikat berkata, kos pembangunan dianggarkan hampir RM10,000 bagi setiap hektar, dengan tempoh kira-kira enam tahun diperlukan untuk mencapai titik pulang modal.
Katanya, tanah yang telah lama terbiar perlu dipulihkan terlebih dahulu sebelum teknologi baharu dapat diperkenalkan, justeru peningkatan hasil dijangka berlaku secara berperingkat.
Pendekatan syarikat itu menggabungkan teknologi moden dan tradisional dari India, Belanda dan Indonesia yang disesuaikan dengan keadaan tanah serta iklim Sabah.
Bagi fasa awal seluas kira-kira 200 hektar, antara satu hingga dua pelabur dijangka terlibat, manakala jumlah keseluruhan pelabur berpotensi dianggarkan sekitar 300 orang.
Ketika ini, empat kampung terlibat termasuk Tengkananon dan Marion di Kota Marudu, manakala dua lagi kampung masih dalam proses pemuktamadan.
Syarikat berkenaan turut menyasarkan untuk memperluaskan projek ke Kota Belud, Keningau, Ranau dan Papar, dengan sasaran jangka panjang membangunkan sehingga 10,000 hektar tanah sawah di seluruh Sabah.
Menurutnya, Sabah mempunyai kira-kira 25,000 hektar kawasan sawah padi, namun hanya sekitar separuh daripadanya diusahakan ketika ini.
LPBS dan Jabatan Pertanian Sabah sedang mengumpul data berkaitan kawasan sawah bagi mengenal pasti lokasi berpotensi untuk pembangunan dan pengaktifan semula tanah terbiar.
Syarikat itu berkata, tempoh pelaksanaan selama 10 tahun diperlukan kerana inisiatif berkenaan bukan projek jangka pendek, sebaliknya bertujuan membangunkan tanah, pelabur dan generasi muda secara berperingkat.


Leave feedback about this