Tempatan Utama

Sepilok Jazz berpotensi jadi produk pelancongan antarabangsa Sabah

Sepilok Jazz berpotensi jadi produk pelancongan antarabangsa Sabah

SANDAKAN: Festival muzik Sepilok Jazz 2026 dilihat berpotensi menjadi antara produk pelancongan bertaraf antarabangsa penting bagi Sabah, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di Sandakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata festival berkenaan bukan sekadar mengetengahkan muzik jazz, malah menggabungkan elemen seni, budaya, pelancongan serta pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, Sepilok Jazz mempunyai keunikan tersendiri menerusi misi menyokong usaha pemuliharaan penyu di Taman Pemuliharaan Penyu Walai, Pulau Libaran.

“Sepilok Jazz bukan sekadar festival muzik, sebaliknya platform yang menghimpunkan masyarakat, budaya dan komuniti melalui bahasa universal muzik.

“Pada masa sama, ia membawa misi penting dalam menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar, khususnya penyu,” katanya ketika berucap pada edisi kelima Sepilok Jazz 2026 di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok, baru-baru ini.

Jafry berkata, edisi tahun ini lebih meriah dengan penyertaan 18 kumpulan muzik dan lebih 100 pemuzik tempatan serta antarabangsa yang membuat persembahan selama dua malam di tiga pentas.
Antara artis yang membuat persembahan termasuk Shila Amzah, Jeremy Monteiro, Mezzotono dari Itali, Class Act 80s dari Indonesia, Janet Lee, Tay Cher Siang, Roger Wang dan Yap Ling.

Beliau berkata, penganjuran festival sedemikian bukan sahaja memberi hiburan kepada pengunjung, malah berupaya memperkenalkan Sandakan dan Sabah kepada pelancong antarabangsa.
Dalam pada itu, katanya, program Bakat Sepilok Jazz turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah peserta meningkat daripada 85 orang pada 2024, 105 pada 2025 kepada 132 peserta tahun ini.

Menurutnya, peningkatan itu membuktikan semakin ramai golongan muda berminat terhadap muzik jazz dan mahu mengembangkan bakat dalam bidang berkenaan.

Jafry turut berkata, program BIG BAND, BIG BANG! Music Symposium and Mentorship Programme membabitkan 50 pelajar tempatan yang menerima pendedahan serta bimbingan daripada pemuzik Singapura.
Katanya, kira-kira 80 pemuzik Sabah dan Singapura turut bergabung dalam satu persembahan khas sempena festival berkenaan.

Sementara itu, Sepilok Jazz turut menjadi sebahagian daripada Sabah Fest 2026, yang diperluaskan ke beberapa lokasi termasuk Kudat, Sandakan, Tawau dan Kuala Lumpur.
Jafry berkata, lebih 50 acara pelancongan, kebudayaan dan komuniti di seluruh Sabah turut disokong menerusi sambutan Sabah Fest tahun ini.

Beliau berkata, penganjuran acara seperti Sepilok Jazz wajar diperluaskan kerana berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, selain mengukuhkan imej Sandakan sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan.

Leave feedback about this

  • Rating