Ekonomi

Semua kaum ada hak, peranan bangunkan Malaysia

SLIM RIVER: Semua kaum di negara ini mempunyai hak dan peranan untuk bersama-sama membangunkan Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Perpaduan memberikan perhatian seimbang kepada semua kaum termasuk bumiputera, bukan bumiputera, orang asal Sabah dan Sarawak agar sama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

“Mengimbas kembali penubuhan Persekutuan Malaysia 60 tahun yang lepas, ia ditubuhkan supaya semua warganegara Malaysia sama ada bumiputera, bukan bumiputera, Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Iban dan semua bangsa sama-sama membina dan membangunkan negara ini.

“Kita harus bangga kerana walaupun negara kita pelbagai bangsa dan agama namun terus kekal bersatu padu. Keharmonian dan pepaduan kaum ini harus dikekalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan agenda pembangunan negara yang dirancang berjalan lancar,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak anjuran bersama KUSKOP dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di Padang Kg. Orang Ali Pisang Ulu Rasau, Slim River, di sini, kelmarin.

Ewon bergambar bersama anak-anak Orang Asli.

Ewon berkata, dari segi pembangunan keusahawanan, Kementeriannya melalui Tekun Nasional menyediakan skim khusus untuk orang asal.

Leave feedback about this

  • Rating