Ekonomi

42 PATI Warga Filipina Dihantar Pulang Ke Negara Asal

42 PATI Warga Filipina Dihantar Pulang Ke Negara Asal
KOTA KINABALU: Seramai 42 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

Pemindahan itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau yang dibawa melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Menurut JIM Sabah, kumpulan berkenaan terdiri daripada 36 lelaki dewasa dan enam wanita dewasa berusia antara 22 hingga 58 tahun.

Semua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah sebelum dihantar pulang.

JIM Sabah memaklumkan sehingga kini seramai 4,447 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing, melibatkan 2,891 warga Filipina, 1,314 warga Indonesia, 113 warga Pakistan, 92 warga China, 18 warga Vietnam dan 19 warga negara lain.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI.

JIM Sabah turut menggesa orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada saluran aduan rasmi jabatan bagi membantu usaha penguatkuasaan undang-undang.

Leave feedback about this

  • Rating