
KUALA LUMPUR: Harga diesel yang berbeza antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak terus menjadi perhatian apabila Pemuda PAS mempersoalkan pelaksanaannya yang disifatkan tidak seimbang.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, situasi itu menjelaskan mengapa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, tampil bersuara keras mengenai isu harga bahan bakar.
Menurutnya, kenyataan Abdul Hadi bukan sekadar bermotif politik, sebaliknya mencerminkan kemarahan rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga diesel di Semenanjung.
“Apa yang disebut oleh Presiden PAS bukan sekadar politik. Ia suara marah rakyat yang makin sesak nafas melihat harga diesel di Semenanjung melambung tinggi, sedangkan di Sabah dan Sarawak masih jauh lebih rendah,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau turut mempersoalkan rasional perbezaan harga itu walaupun alasan seperti konflik global dan faktor pasaran dunia sering digunakan kerajaan.
Menurut Fakhruddin, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat, khususnya golongan yang bergantung kepada bahan api itu untuk mencari rezeki seperti peniaga kecil, nelayan, petani, pengusaha lori dan pemandu van sekolah.
Katanya, kemarahan rakyat bukan kerana mereka tidak memahami ekonomi, tetapi disebabkan persepsi wujudnya layanan berbeza dalam pelaksanaan dasar harga.
“Rakyat marah kerana mereka nampak ‘double standard’ yang terlalu jelas. Sabah dan Sarawak boleh dapat harga diesel lebih rendah atas alasan kos hidup dan geografi, tetapi rakyat Semenanjung dibiarkan menanggung beban sendirian,” katanya.
Beliau turut mendakwa Malaysia mempunyai sumber petroleum dan gas yang mencukupi, namun rakyat tidak dapat menikmati sepenuhnya hasil tersebut akibat ketirisan dan kelemahan tadbir urus.
Dalam pada itu, Fakhruddin menyifatkan reaksi kerajaan yang meminta agar isu diesel tidak dipolitikkan sebagai tidak selari dengan realiti dihadapi rakyat.
Katanya, kenaikan diesel memberi kesan menyeluruh kepada rantaian ekonomi termasuk harga makanan, kos pengangkutan, perumahan dan sektor pertanian.
“Sebab itu suara Presiden PAS hari ini lebih dekat di hati rakyat berbanding PMX, Anwar Ibrahim, yang semakin hari semakin hilang rasa empati,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi mempertikaikan tindakan kerajaan menaikkan harga diesel walaupun negara mempunyai sumber minyak sendiri, selain mencadangkan kerjasama serantau bagi mengurangkan tekanan harga bahan api susulan krisis global.


Leave feedback about this