Tempatan Utama

Sabah mahu lahir generasi pencipta teknologi

Sabah mahu lahir generasi pencipta teknologi

KOTA KINABALU: Sabah mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu memahami, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membangunkan inovasi mengikut keperluan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penguasaan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kini menjadi keperluan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, Sabah perlu mengubah pendekatan daripada hanya menjadi pengguna kepada pencipta teknologi bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital.

“Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi yang sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri kita sendiri.

“Sebab itu, kita mahu menukar senario daripada sekadar ‘pengguna teknologi’ kepada ‘pencipta teknologi’,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.

Hajiji berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu kini sedang membentuk semula cara manusia belajar, bekerja serta menjalankan perniagaan.

Katanya, penguasaan STI amat penting bagi menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, termasuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI, teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Beliau berkata, Sabah juga mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi yang luas untuk diperkasakan melalui penyelidikan serta inovasi.

Antara bidang yang boleh diperkasakan termasuk pertanian pintar, keselamatan makanan, biodiversiti, tenaga hijau, pengurusan sumber air, kesihatan, teknologi marin, pelancongan berasaskan sains dan ekonomi digital.

Sehubungan itu, Hajiji berkata pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diberi perhatian sebagai pelaburan jangka panjang bagi menghadapi cabaran masa depan, khususnya perkembangan teknologi AI.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta UMS.

Katanya, lebih banyak program pembudayaan STI perlu dibawa ke sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan luar bandar serta pedalaman supaya peluang mendapat pendedahan kepada sains dan teknologi tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Hajiji berharap program berkenaan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak jaringan kerjasama antara sekolah, universiti, agensi kerajaan, penyelidik, industri dan komuniti menerusi projek, latihan, pertandingan, bimbingan, penyelidikan bersama serta pemindahan ilmu.

Beliau turut mahu hasil inovasi dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai sektor, termasuk membantu meningkatkan hasil pertanian serta mempermudah urusan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah.

“Setiap usaha yang kita lakukan hari ini untuk mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah,” katanya sambil menyeru ibu bapa dan pendidik supaya terus menyokong minat anak-anak dalam bidang STI.

Leave feedback about this

  • Rating