
PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah, 58, bersama isteri dan anaknya secara rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut, di sini, hari ini.
Ruddy bersama isterinya, Datin Seri Asiah Udin dan anak mereka, Aswady, melafazkan dua kalimah syahadah dengan dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Lafaz syahadah itu turut disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Ketiga-tiga mereka terlebih dahulu melafazkan syahadah secara bersama-sama sebelum mengulanginya secara bergilir-gilir dan membaca pengertiannya dalam bahasa Melayu.
Majlis kemudian diteruskan dengan laungan azan, bacaan ayat suci al-Quran dan selawat sebelum diakhiri dengan kenduri kesyukuran.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut hadir menyaksikan majlis berkenaan bersama barisan menteri dan pembantu menteri Kabinet negeri.
Menurut Ruddy sebelum ini, keputusan memilih Islam sebagai pegangan hidup dibuat selepas lebih 10 tahun memikirkan agama yang mahu dianutinya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Katanya, minatnya terhadap Islam semakin mendalam selepas sekian lama mengikuti ceramah agama serta mempelajari tatacara dan ajaran Islam.
Pengalaman puluhan tahun menyantuni masyarakat berbilang agama di Pitas, termasuk membantu masjid, surau dan gereja, turut membuka ruang kepadanya untuk mengenali serta memahami Islam dengan lebih dekat sebelum membuat keputusan tersebut.


Leave feedback about this