Tempatan Utama

RM40 Juta Untuk Pendidikan, Masa Depan Anak Sabah Terjamin

RM40 Juta Disalur, 27,781 Anak Sabah Terima Bantuan Pendidikan TPNS

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, memberi manfaat kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 pelajar menerima manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.

Beliau berkata, penubuhan TPNS berasaskan tema ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ terbukti menjadi instrumen penting dalam memperluas akses bantuan pendidikan kepada rakyat Sabah.

“Majlis ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi kita sedang membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai cita-cita dan membina masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application, di sini hari ini.

Hajiji berkata, sesebuah negeri tidak akan dapat melangkah maju tanpa sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti kerana pembangunan negeri bukan hanya mengenai pembinaan jalan, jambatan, bangunan dan infrastruktur.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi komitmen terhadap pembangunan pendidikan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini, yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, peruntukan itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020.

Dalam tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan turut diperkenalkan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Mengenai bantuan yang disampaikan, Hajiji berkata seramai 362 penerima dari sekitar Kota Kinabalu menerima manfaat berjumlah RM6.79 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri diteruskan menerusi pelancaran Sistem TPNS Smart Application.

Aplikasi mudah alih itu membolehkan permohonan bantuan TPNS dibuat secara dalam talian sepenuhnya, selain pemohon boleh menyemak status permohonan secara masa nyata.

Hajiji berkata kemudahan itu diharap menjadikan proses permohonan lebih mudah, cepat dan teratur, khususnya bagi anak-anak Sabah di kawasan luar bandar.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah supaya tampil melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS.

Katanya, kerjasama kerajaan negeri, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu membina ekosistem pendidikan yang lebih kukuh untuk anak-anak Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating