Tempatan Utama

Paderi Katolik dan Biarawati Tidak Patut Dijadikan Bahan Jenaka Perwakilan UMNO – Madius

Madius kecam jenaka seksual babit paderi, biarawati di PAU 2026

KOTA KINABALU: Paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan di pentas perhimpunan politik utama negara.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sama ada ia dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, perkara itu tetap tidak wajar kerana boleh menyinggung perasaan masyarakat beragama Kristian di seluruh negara.

Katanya, kitab suci dan golongan berkenaan tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka.

Beliau berkata demikian susulan ucapan seorang perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Laporan mengenai ucapan itu menyebut kisah berkenaan digunakan bagi menggambarkan kepentingan untuk kekal fokus serta mengetahui matlamat yang ingin dicapai.

Madius berkata, penceramah berkenaan perlu mengakui kesilapan pertimbangan, menarik balik rujukan yang didakwanya palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian.

“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating