Tempatan Utama

Operasi JSJN Sabah Tumpaskan ‘Runner’ Ekstasi di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki berperwatakan wanita yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu ditahan ketika dipercayai menghantar bekalan kepada pelanggan, malam Sabtu.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam operasi di Jalan Pintas, di sini, kira-kira jam 10.40 malam.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan susulan maklumat orang awam berhubung kegiatan pengedaran dadah oleh suspek.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lapan paket serbuk disyaki ekstasi seberat 190.94 gram serta enam biji pil disyaki ekstasi seberat 2.80 gram.

“Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 193.74 gram dengan anggaran nilai RM6,400.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 16 Pro Max dan sebuah kenderaan berwarna putih,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal dadah termasuk serbuk ekstasi, ketamin dan bahan dikenali sebagai ‘jus’ kepada pelanggan di pusat hiburan.

Katanya, kegiatan suspek dipercayai tertumpu di beberapa pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan susulan di kediaman suspek tidak menemukan sebarang barang salah.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula didapati positif methamphetamine (METH), amphetamine (AMP), ketamine dan benzodiazepine (BZO),” katanya.

Alhusin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rakan sejenayah suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating