
Keningau Catat IPU 163, Kebakaran Belukar Cetus Kebimbangan Jerebu
KENINGAU: Keningau mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 163 petang semalam, sekali gus berada pada status tidak sihat, ketika kebakaran belukar dilaporkan berlaku di Kampung Keningau.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.41 petang, kawasan semak dan lalang kering seluas kira-kira satu ekar terbakar berhampiran jalan raya dan penempatan awam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang diketuai PBK I Norhasrita Binti Abd Manan bersama lima anggota dikerahkan ke lokasi dengan sebuah jentera FRT (BLY 421).
Jentera tiba di lokasi pada jam 2.45 petang dan operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.50 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang.
Keadaan cuaca yang panas dan kering ketika ini turut meningkatkan risiko kebakaran terbuka merebak dengan pantas.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu serta menjejaskan kualiti udara, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Jangan tambah asap kepada udara yang sudah tercemar. Hentikan pembakaran terbuka.


Leave feedback about this