Luar Negara Tempatan Utama

Kapal layar dari Kota Kinabalu ditahan di Filipina, 222kg ganja bernilai RM23.6 juta dirampas

Kapal layar dari Kota Kinabalu ditahan di Filipina, 222kg ganja bernilai RM23.6 juta dirampas

MANILA: Sebuah kapal layar yang berlepas dari Kota Kinabalu menuju Taiwan ditahan pihak berkuasa Filipina selepas sebanyak 222.24 kilogram (kg) ganja bernilai 366.65 juta peso (kira-kira RM23.6 juta) ditemukan di dalam kapal berkenaan.

Memetik laporan The Philippine Star (Philstar), Biro Kastam Filipina (BOC) berkata, pemeriksaan awal pada 2 September lalu menemukan 98.33kg ganja bernilai kira-kira 162.2 juta peso (RM10.46 juta).

Pemeriksaan susulan pada Sabtu lalu, termasuk meleraikan sebahagian struktur kapal, membawa kepada penemuan tambahan 123.91kg ganja yang disimpan dalam 109 bungkusan.

Ketua Kastam Daerah Subic, Geniefelle Lagmay, berkata pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mencurigakan mengenai sebuah kapal layar yang mengalami kerosakan dan mendapatkan khidmat pembaikan di Subic Bay Yacht Club (SBYC).

Menurutnya, kapal berkenaan dinaiki empat kru warga Thailand dan Malaysia sebelum mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Taiwan.

“Kapal mengalami masalah enjin ketika berada di laut sebelum menghantar isyarat kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurut Pihak Berkuasa Metropolitan Subic Bay (SBMA), kapal itu dibawa ke SBYC pada 28 Ogos lalu bersama empat anak kapal untuk menjalani kerja pembaikan.

Pemeriksaan kemudian dijalankan pasukan petugas membabitkan BOC, SBMA, Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA), polis Zambales dan Olongapo City.

Dalam pemeriksaan itu, pekerja pembaikan SBYC terlebih dahulu menemui beberapa beg plastik yang disyaki mengandungi bahan terlarang di ruang bilik enjin sebelum melaporkannya kepada pengurusan kelab.

BOC kini sedang mengenal pasti pemilik serta penerima dadah berkenaan, selain menyiasat kemungkinan wujud kaitan dengan sindiket dadah tempatan atau antarabangsa.

Kesemua ganja yang dirampas diserahkan kepada PDEA untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, polis Olongapo City dengan sokongan unit risikan tempatan sedang berusaha mengesan empat kru kapal layar terbabit.

Sumber: Harian Metro

Leave feedback about this

  • Rating