
Jangan biarkan politik keterlaluan pecah-belahkan rakyat Sabah – Tun Musa
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Haji Aman, mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan percaturan politik keterlaluan, dendam politik, iri hati atau kepentingan peribadi menghakis keamanan dan keharmonian yang telah lama dibina.
Dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, beliau berkata perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia tidak seharusnya berubah menjadi kebencian, permusuhan atau usaha melaga-lagakan rakyat.
“Politik pada asasnya haruslah berteraskan khidmat kepada rakyat dan usaha membina masa depan yang lebih baik.
“Politik tidak seharusnya dijadikan alat untuk membalas dendam peribadi, menyebarkan tuduhan berniat jahat atau mencetuskan perpecahan demi kepentingan politik,” katanya.
Tun Musa turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu, fitnah dan kandungan media sosial yang sengaja direka bagi mencetuskan kemarahan serta kebencian.
Beliau menyeru rakyat, khususnya generasi muda, supaya lebih bijak dan bertanggungjawab dalam menilai setiap perkara yang dibaca, dipercayai serta dikongsikan di media sosial.
“Kebebasan bersuara haruslah dilaksanakan secara bertanggungjawab. Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggugat keharmonian, menyemarakkan kebencian atau melemahkan institusi serta nilai-nilai yang melindungi demokrasi dan kedaulatan negara kita,” katanya.
Menurut beliau, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah bukan sekadar acara untuk diraikan dengan rasa bangga dan kesyukuran, tetapi turut menjadi ruang untuk memperbaharui kesedaran mengenai pentingnya keamanan, kebebasan dan kedaulatan.
Beliau berkata, 31 Ogos mempunyai makna istimewa bagi rakyat Sabah kerana selain menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh rakyat Malaysia, ia turut memperingati Hari Sabah yang menandakan satu lembaran penting dalam sejarah negeri.
Tun Musa berkata kedua-dua sambutan itu juga memberi peluang kepada rakyat untuk mengimbas kembali sejarah serta merenungkan tanggungjawab dalam memelihara keamanan, perpaduan dan kemakmuran yang dibina hasil usaha serta pengorbanan generasi terdahulu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata ketidaktentuan dunia ketika ini, termasuk konflik dan ketegangan geopolitik khususnya di Timur Tengah, menjadi peringatan bahawa keamanan tidak boleh dipandang ringan.
“Tragedi-tragedi ini seharusnya mengingatkan kita bahawa keamanan tidak boleh dipandang ringan. Kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan amat berharga, namun semuanya juga boleh menjadi rapuh sekiranya tidak dipelihara,” katanya.
Mengenai Sabah, Tun Musa berkata perpaduan dan keharmonian rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan tradisi merupakan antara kekuatan terbesar negeri itu.
“Sejak turun-temurun, kita telah hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami. Keistimewaan ini merupakan sesuatu yang amat berharga bagi Sabah dan wajib kita pertahankan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan Sabah perlu kekal kepada pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kestabilan politik penting bagi masa depan negeri kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pelabur, menggalakkan pelaburan asing dan domestik, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik bakat dan kepakaran yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi Sabah.
Tun Musa berkata rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keamanan dan memperkukuh perpaduan supaya generasi akan datang mewarisi Sabah dan Malaysia yang lebih kukuh, makmur serta harmoni.
Beliau turut merakamkan penghormatan kepada para pahlawan negara serta penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan yang terus berwaspada menjaga sempadan dan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Marilah kita menghargai segala yang kita miliki, menolak segala usaha yang mahu memecah-belahkan kita, dan terus berganding bahu tanpa mengira kaum, agama, budaya mahupun fahaman politik demi kemajuan Sabah dan kemakmuran Malaysia,” katanya.
Tun Musa kemudian menyeru rakyat supaya memperbaharui tekad dan komitmen kepada Sabah dan Malaysia serta terus melangkah ke hadapan dengan keberanian, kebijaksanaan dan semangat perpaduan.
“Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Sabah,” katanya.


Leave feedback about this