
KOTA KINABALU: Pengoperasian talian sambung tara 275 kilovolt (kV) Sarawak-Sabah menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik serantau sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga di seluruh Borneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengoperasian sambungan grid yang bermula pada 13 Disember 2025 mencerminkan pelaburan strategik jangka panjang bagi mempertingkat daya tahan tenaga, memperkukuh kerjasama antara negeri serta menyokong pertumbuhan mampan Sarawak, Sabah dan wilayah Borneo secara keseluruhan.
Beliau berkata, bekalan elektrik yang boleh dipercayai menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial kerana ia menggerakkan industri, membolehkan perniagaan berkembang, menyokong perkhidmatan awam serta memenuhi keperluan harian komuniti.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh baharu yang banyak, khususnya hidrokuasa, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan kukuh untuk berkongsi bekalan elektrik dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan demi manfaat bersama.
“Ketika ini, Sarawak mempunyai kapasiti hidrokuasa berskala besar sebanyak 3,558 megawatt yang menjadi asas sistem elektrik rendah karbon dan stabil, dengan tambahan 1,285 megawatt lagi dijadual beroperasi menjelang 2030.
“Kerajaan negeri turut meneroka pembangunan solar terapung di takungan empangan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti penjanaan sehingga 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, seterusnya mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis perasmian pengoperasian sambungan grid berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Beliau berkata, sambungan grid Sarawak-Sabah menjadi contoh praktikal bagaimana sumber boleh baharu menyokong peralihan tenaga secara nyata, selain memberi fleksibiliti operasi lebih baik antara dua sistem grid.
“Langkah itu meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian dan mengukuhkan keselamatan tenaga apabila aliran elektrik dapat disalurkan merentasi sempadan negeri secara lebih cekap mengikut keperluan semasa.
“Keanjalan sistem tenaga seperti ini memberi keyakinan kepada pelabur, membantu industri berkembang dan memastikan komuniti menikmati bekalan stabil setiap hari.
“Dalam masa sama, manfaat ini mendorong pertumbuhan bersama serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada rakyat Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan dibina berasaskan pengalaman Sarawak dalam kerjasama tenaga rentas sempadan, termasuk eksport elektrik ke Kalimantan Barat sejak 2016.
“Kerjasama selama sedekad ini membuktikan sambungan grid meningkatkan kebolehpercayaan sistem, mengoptimumkan penggunaan sumber, mengeratkan hubungan serantau serta menyokong agenda kelestarian melalui pengurangan penjanaan berintensiti karbon tinggi.
“Pengalaman itu seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan sambungan grid Sarawak-Sabah, sekali gus mengukuhkan kefahaman bahawa sambungan grid bukan sekadar projek teknikal, sebaliknya pemangkin strategik kepada pertumbuhan bersama dan mampan.
“Projek berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak yang menekankan pembangunan inklusif, peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta pengukuhan aktiviti ekonomi di kedua-dua negeri,” katanya.
Katanya, ia turut menyokong dasar peralihan tenaga Sarawak dengan membolehkan perkongsian sumber tenaga boleh baharu ke arah campuran tenaga lebih seimbang dan rendah karbon di rantau ini.
“Pada peringkat nasional, sambungan grid itu menyumbang kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia, mengukuhkan keselamatan bekalan negara serta memperlihatkan kerjasama peringkat negeri mampu menyokong sasaran jangka panjang yang digariskan dalam pelan hala tuju tenaga negara,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata Sarawak bersedia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan tenaga serantau termasuk cadangan penyambungan grid dengan Brunei menjelang 2030, eksport tenaga boleh baharu ke Singapura sehingga satu gigawatt serta kajian sambungan ke Semenanjung Malaysia.
“Gabungan inisiatif berkenaan menjadi asas kepada pembentukan Grid Borneo yang lebih saling terhubung, sekali gus membolehkan perancangan sistem lebih cekap, pengurusan variasi bekalan lebih baik serta integrasi tenaga boleh baharu secara meluas tanpa menjejaskan kebolehpercayaan.
“Pada skala lebih besar, projek ini menyumbang secara langsung kepada realisasi Grid Kuasa ASEAN yang berteraskan kebolehpercayaan, manfaat bersama dan kemakmuran serantau,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, projek berkenaan memperkukuh rekod Sarawak dalam pertukaran tenaga rentas sempadan serta menyokong pembangunan Grid Borneo yang lebih komprehensif.
Katanya, kerjasama dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan di Indonesia membantu menggerakkan konsep Grid Borneo daripada perancangan kepada pelaksanaan sebenar, selari aspirasi Grid Kuasa ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata sambungan grid itu menjadi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama teknikal, operasi dan dasar tenaga antara dua negeri.
Beliau berkata, perkongsian sumber penjanaan secara lebih cekap mampu meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan risiko gangguan bekalan ketika permintaan puncak serta menambah daya tahan sistem kuasa.
“Pada peringkat awal, sambungan membekalkan sehingga 50 megawatt dari Sarawak ke Sabah dengan kapasiti berpotensi ditingkatkan mengikut kesiapsiagaan sistem dan perancangan masa depan.
“Rangkaian lebih bersepadu membantu kedua-dua negeri mengurus operasi secara lebih efektif terutama ketika kerja penyelenggaraan berjadual atau situasi luar jangka.
“Selain itu, projek ini menjadi asas kepada cadangan sambungan tenaga dengan Brunei, Singapura dan Semenanjung Malaysia yang kini berada pada pelbagai peringkat kajian kebolehlaksanaan, sekali gus mengukuhkan landskap tenaga Borneo ke arah masa depan lebih terhubung dan mampan,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak kekal komited melaksanakan perancangan tenaga strategik, melabur dalam infrastruktur berdaya tahan dan mempercepat peralihan tenaga supaya bekalan elektrik kekal mampu milik, boleh dipercayai dan mudah diakses semua lapisan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy, Sabah Electricity serta semua pihak berkepentingan atas dedikasi dan kerjasama erat sepanjang pembangunan interkoneksi berkenaan.
“Dengan sambungan grid ini, kita melangkah setapak lagi ke hadapan ke arah pertumbuhan mampan dan kemakmuran bersama untuk rantau ini,” katanya.


Leave feedback about this