
Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu kandung di Tambunan
TAMBUNAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki membunuh ibu kandungnya yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, semalam.
Mayat wanita berusia 56 tahun itu ditemukan kira-kira jam 2 petang sebelum polis melancarkan gerakan mengesan suspek.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek kemudian dikesan dan ditahan penduduk di sebuah sulap di Kampung Sukung.
“Penduduk kampung membawa suspek menggunakan kenderaan mereka ke Balai Polis Tambunan sebelum tangkapan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
“Pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan.


Leave feedback about this