Tempatan Utama

Hanya 49,000 Sudah Mohon, 71,000 Lagi Belum Tuntut Tambahan BUDI Diesel

KOTA KINABALU: Kira-kira 71,000 pemilik kenderaan di Sabah yang layak menerima tambahan kuota 100 liter di bawah BUDI Diesel diseru supaya segera mengemukakan permohonan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan yang layak, hanya sekitar 49,000 telah mengemukakan permohonan setakat ini.

Menurutnya, tambahan kuota 100 liter itu perlu dimanfaatkan terlebih dahulu bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar pengguna sebelum mempertimbangkan sebarang penambahan kuota.

“Jadi kita harapkan baki yang belum membuat permohonan itu dapat mendaftarkan kenderaan mereka supaya boleh guna tambahan 100 liter tersebut dan barulah kita boleh lihat berapa kuota sebenarnya yang diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @Sepanggar, di sini hari ini.

Mustapha berkata kerajaan turut menerima permintaan daripada peniaga dan syarikat supaya kuota diesel bagi kategori kenderaan tertentu ditambah, dengan perkara itu kini dalam penelitian Kementerian Kewangan.

Beliau berkata kerajaan juga telah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung pelaksanaan BUDI Diesel dan kajian terperinci akan dibuat sebelum sebarang langkah seterusnya diumumkan.

Pada Selasa lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dilaporkan berkata kira-kira 120,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda termasuk trak pikap dan jip di Sabah layak memohon tambahan kuota 100 liter BUDI Diesel susulan peluasan kelayakan.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 49,000 pemilik telah berbuat demikian setakat ini.

Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel dalam tempoh satu hingga dua bulan, khususnya berkaitan proses permohonan dan syarat kelayakan. -BERNAMA

 

Leave feedback about this

  • Rating