Tempatan Utama

Gagasan Rakyat sokong pendirian Hajiji, tuntutan 40 peratus Sabah perlu disegerakan

Gagasan Rakyat sokong pendirian Hajiji, tuntutan 40 peratus Sabah perlu disegerakan

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden parti itu, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan hak Sabah bukan sekadar dibincangkan, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, tuntutan 40 peratus bukan perkara baharu dan bukan soal ihsan mana-mana pihak, sebaliknya hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Pendirian yang dibawa oleh Ketua Menteri jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak-hak Sabah diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurut Nizam, tuntutan itu wajar diselesaikan secara bertanggungjawab dan adil, selaras dengan semangat sebenar pembentukan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Gagasan Rakyat mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.

Katanya, peningkatan itu merupakan perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Namun demikian, bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri,” katanya.

Nizam turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

“Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta penyelesaian perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63 juga perlu diteruskan.

Menurutnya, perkara berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan serta kemampuan negeri mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.

Nizam berkata, Gagasan Rakyat percaya pendekatan Hajiji selama ini jelas, iaitu tegas mempertahankan hak Sabah namun pada masa sama mengutamakan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian konkrit.

“Pendekatan ini telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian dan apa sahaja yang menjadi hak negeri serta rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.

“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.

“Pada masa yang sama, Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya.

Nizam menegaskan Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya, sebaliknya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan penuh tanggungjawab.

Leave feedback about this

  • Rating