
Enam perhentian kecil kereta api siap dibina, mula beroperasi Oktober
KOTA KINABALU: Enam perhentian kecil kereta api (halt) baharu di sepanjang laluan Stesen Sembulan-Kinarut telah siap dibina dan dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan itu disediakan bagi memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api di Sabah.
Beliau berkata, enam perhentian berkenaan ialah Perhentian Kecil Lok Kawi, Tombovo, Meruntum, Bukit Vor, Petagas dan Tugu Peringatan Petagas.
“Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan.
“Penyediaan perhentian-perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), di Stesen Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api kini mempunyai pilihan untuk menggunakan perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing sebelum meneruskan perjalanan ke pusat bandar.
Katanya, kemudahan berkenaan turut menyediakan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat, terutama ketika kos penggunaan kenderaan persendirian termasuk bahan api menjadi antara cabaran kepada pengguna jalan raya.
“Kita mahu perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Selepas majlis berkenaan, Ewon turut menaiki kereta api ke Kinarut bagi meninjau sendiri perhentian-perhentian baharu yang telah siap dibina di sepanjang laluan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata beliau turut menantikan hasil kajian cadangan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), termasuk kawasan Pelabuhan Sepanggar.
“Saya ingin melihat hasil kajian bagi memperluaskan perkhidmatan kereta api dari Putatan ke KKIP termasuk ke kawasan Pelabuhan Sepanggar yang saya percaya sedang dilaksanakan.
“Mudah-mudahan apabila kajian itu siap dan dibentangkan kepada kementerian atau Kerajaan Negeri, kita boleh melihat hala tuju seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, peluasan rangkaian kereta api pada masa hadapan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut kemudahan pengangkutan rakyat, malah potensinya dalam menyokong sektor perindustrian dan logistik Sabah.
Katanya, sektor industri boleh memanfaatkan jaringan kereta api bagi mengangkut produk dari taman perindustrian ke pelabuhan, selain menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perumahan dan perindustrian.
Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam Sabah.
Menurutnya, pengangkutan awam mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar, aktiviti perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, penambahbaikan berterusan dari segi infrastruktur, tahap perkhidmatan, keselamatan dan kemudahan pengguna mampu memastikan JKNS terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum; Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David dan Caroline, serta Benjamin Jiungan dan Datuk Ir. Ts. Philemon Lajawai.


Leave feedback about this