Tempatan Utama

Christoper: Tambah kerusi Parlimen perkukuh suara Sabah

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, yang disifatkan sebagai langkah penting mengembalikan keseimbangan perwakilan seperti dihasratkan ketika pembentukan Malaysia.

Ketua Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut berkata, keputusan itu merupakan perkembangan positif yang telah lama dinantikan, khususnya selepas isu peningkatan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sekian lama dibangkitkan.

Beliau berkata, penambahan kerusi bukan sekadar soal jumlah wakil, sebaliknya berkait rapat dengan keseimbangan perwakilan serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

“Ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan suara Sabah dan Sarawak terus diberi ruang yang sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christoper turut mengingatkan bahawa usaha membawa isu berkenaan ke perhatian Kerajaan Persekutuan bukan perkara baharu dan wajar diberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah memperjuangkannya secara konsisten.

Menurutnya, PBS menghargai usaha bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang sebelum ini memberi perhatian serius terhadap isu perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

“Ketika menerajui portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah membawa perkara ini ke peringkat Persekutuan dan menekankan keperluan untuk mengembalikan perwakilan Sabah dan Sarawak berdasarkan semangat asal pembentukan Malaysia.

“Beliau juga menegaskan perkara ini perlu diberi perhatian dan terus didorong sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan hak serta kedudukan yang termaktub dalam MA63,” katanya.

Dalam pada itu, Christoper berharap keputusan terbaharu itu disusuli perincian mengenai jumlah dan pembahagian kerusi tambahan bagi Sabah dan Sarawak.

“PBS berharap proses seterusnya dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Malaysia serta semangat MA63.

“Ini bukan semata-mata soal menambah bilangan kerusi, tetapi memastikan suara dan kedudukan Sabah dalam Parlimen mencerminkan peranan negeri ini dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating