
KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Blok Borneo bukan bertujuan memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan, sebaliknya untuk keseimbangan dan semangat perkongsian yang menjadi asas pembentukan negara.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa Sabah dan Sarawak menggunakan gagasan itu untuk mengukuhkan kawalan politik Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah serta semangat pembentukan Malaysia.
Katanya, cadangan itu tidak harus ditafsirkan sebagai usaha mendominasi Semenanjung, sebaliknya satu langkah politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah serta Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
“Dalam sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan tidak perlu dipandang negatif.
“Ia selaras dengan prinsip perkongsian yang menjadi asas pembentukan negara pada 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan melalui rundingan jelas yang disertai jaminan perlindungan tertentu, termasuk berkaitan identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
Menurutnya, jaminan itu termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.
“Perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan bukan keistimewaan berlebihan.
“Ia adalah komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia. Maka usaha berterusan untuk menuntut serta memperkukuh pelaksanaannya adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.
Mengulas cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata ia perlu dilihat dari sudut representasi lebih saksama, mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza.
“Pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan.
“Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur serta konstruktif,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukannya persaingan antara Semenanjung dan Borneo.
“Sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan, bukan melemahkannya,” katanya.


Leave feedback about this