Ekonomi

Belia Kalabakan digalak ceburi bidang penternakan itik penelur

30 orang peserta terdiri belia Kalabakan.

TAWAU: Belia di daerah Kalabakan terus diberikan perhatian menerusi penganjuran kursus penternakan itik penelur bagi membantu mereka menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang.

Kursus berkenaan adalah inisiatif Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Kalabakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pertubuhan Penggerak Bakti Kalabakan.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim berkata kursus ini dilaksanakan supaya belia-belia Kalabakan dapat menambah kemahiran dan mempunyai asas keusahawanan.

Katanya, ramai yang bertanya sebelum ini bagaimana usaha untuk mengatasi masalah belia menganggur dan yang berhijrah ke semenanjung.

“Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan secara keseluruhan, namun banyak usaha telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah penyediaan kursus-kursus usahawan.

“Justeru, bagi meneruskan usaha membantu belia Kalabakan, kita mengambil inisiatif melaksanakan kursus ini dan memberikan ‘kit’ itik penelur sebagai permulaan bagi mereka menternak itik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Suryady merasmikan majlis perasmian penutupan Kursus Penternakan Itik Penelur, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, belia yang menyertai kursus ini mempunyai peluang yang cukup besar terutamanya dalam penerokaan bidang penternakan.

Katanya, PKRP Kalabakan dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah akan sentiasa membantu sekiranya belia berhasrat untuk serius dalam bidang penternakan itik penelur.

“Pasaran untuk telur itik daerah ini sangat menggalakkan dan ia perlu diambil peluang oleh belia yang sudah mengikuti kursus ini, lebih-lebih lagi kita bersempadan dengan ibu kota Indonesia, Nusantara.

“Kita tidak boleh menunggu di depan mata baru mahu sesuatu, kita perlu berani cipta sesuatu yang boleh menjana ekonomi dan mengasah hala tuju diri sendiri,” katanya.

 Saripudin menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.
PENGHARGAAN: Saripudin menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.

Sementara itu, Saripudin berharap supaya semua peserta dapat mengaplikasikan modul-modul yang disampaikan dan bermula dengan bantuan ‘kit’ itik penelur yang diberikan hari ini.

“PKRP Kalabakan akan menganjurkan lagi kursus lanjutan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia-belia di daerah ini.

“Kita mahu pelbagaikan produk daripada Kalabakan, bukan sahaja dari segi perladangan kelapa sawit, tetapi pengeluaran produk-produk penternakan seperti telur itik,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah, Dicky Dzulkarnain Harun dan Pengerusi Pertubuhan Penggerak Bakti Kalabakan, Rusdianto Chandra.

 

Leave feedback about this

  • Rating