Tempatan Utama

BBC Sabah cadang rebat elektrik bersasar untuk golongan berpendapatan rendah

BBC Sabah cadang rebat elektrik bersasar untuk golongan berpendapatan rendah

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Skim Rebat Elektrik secara bersasar bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah susulan kenaikan tarif elektrik.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, rebat berkenaan wajar diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selari dengan pendekatan subsidi bersasar seperti pelaksanaan BUDI Madani Diesel.

“Kita berharap cadangan itu dapat diterjemahkan menjelang mesyuarat khas hari ini bagi meneliti langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BBC berharap skim rebat itu boleh diterima pakai bagi memastikan subsidi elektrik sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Menurut Masiung, sekiranya mekanisme itu dipersetujui, pengguna domestik khususnya penerima STR, eKasih serta kategori B40 dan M40 boleh diberikan rebat automatik antara RM40 hingga RM100 sebulan mengikut kadar penggunaan.

Katanya, rebat itu boleh dikreditkan terus ke dalam bil elektrik atau disalurkan ke akaun penerima bagi mengurangkan risiko ketirisan.

ADUN Kuamut itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan subsidi pukal yang menurutnya turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi, sektor industri dan premis mewah.

“Tidak adil apabila seorang nelayan yang hanya menggunakan satu kipas dan satu lampu rumah terpaksa membayar pada kadar yang sama dengan sebuah kondominium mewah yang menggunakan enam penyaman udara.

“Subsidi elektrik wajar melindungi rakyat kurang berkemampuan, bukan turut dinikmati sama rata dengan golongan gaya hidup mewah.

“Sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, membantu golongan kurang berkemampuan, manakala golongan kaya, industri dan premis mewah membayar pada kadar biasa,” katanya.

Masiung berharap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Sabah Electricity Sdn Bhd dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dalam mesyuarat khas langkah mitigasi elektrik bersama Perdana Menteri hari ini.

Leave feedback about this

  • Rating