
KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 32 tahun melecur pada muka dan badan selepas meredah api bagi menyelamatkan isteri serta empat anaknya dalam kebakaran satu blok premis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, kebakaran membabitkan sembilan pintu premis seluas kira-kira 557 meter persegi dan hampir keseluruhan bangunan musnah.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 61 meter dan mendapatkan sumber air sejauh tiga kilometer berikutan pili bomba berhampiran tiada tekanan.
Semua ahli keluarga mangsa termasuk isteri dan empat anak berusia antara sebulan hingga 11 tahun selamat serta menerima rawatan awal sebelum lelaki terbabit dihantar ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi dikawal pada jam 7.13 pagi dan tamat sepenuhnya pada 10.55 pagi dengan kerjasama beberapa agensi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Leave feedback about this