
Banjir Kilat Landa Beberapa Kawasan Sekitar Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, hari ini.
Antara kawasan terjejas termasuk laluan dari Sepanggar menuju ke Sabah Ports, kawasan hadapan Indah Permai serta laluan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telipok dan University Utama Condominium (UUC).
Keadaan itu menyebabkan pergerakan kenderaan menjadi perlahan, manakala pengguna jalan raya dilihat lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air.
Di Jalan Politeknik, Sepanggar, sebuah kereta dipercayai terkandas ketika melalui laluan yang dinaiki air.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang ibu bersama anaknya cuba menolak kereta berkenaan sebelum beberapa orang awam tampil membantu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya terus menjalankan pemantauan di beberapa kawasan hotspot banjir susulan hujan berterusan sejak tengah hari.
Menurutnya, APM turut bersiap sedia dengan kekuatan anggota dan aset bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca tidak menentu.
Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri.
Orang ramai yang berdepan sebarang kecemasan disarankan menghubungi talian kecemasan 999.
Setakat jam 4 petang, hujan lebat masih berterusan terutama di Kota Kinabalu dan Putatan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko meredah kawasan yang dinaiki air sekiranya paras air tinggi atau keadaan jalan tidak dapat dipastikan.


Leave feedback about this